Search
Search
Kurt secara tidak rasmi menjadi guru kepada ribuan pemain gitar

Kurt secara tidak rasmi menjadi guru kepada ribuan pemain gitar

LEGASI SEBENAR KURT COBAIN : FALSAFAH PUNK YANG MEMBUKA MUZIK PADA MASYARAKAT DUNIA

Walaupun sudah hampir 27 tahun kematian beliau, nama Kurt Cobain tetap terus disebut-sebut sebagai salah seorang ikon muzik Amerika Syarikat yang paling berpengaruh.

Lupakan sebentar kisah dia membunuh diri kerana itu bukannya topik perbincangan artikel ini.

Dalam internet, majalah dan di kalangan peminat muzik sendiri, ramai yang gemar membincangkan berkenaan teknik Kurt Cobain bermain gitar. Bagi sesetengah pihak, Kurt adalah seorang pemain gitar yang teruk.

Kurt Cobain performs with Nirvana in 1993.

Bagi satu pihak lain yang menyokong beliau, Kurt adalah seorang pemain gitar yang menggunakan sepenuhnya kuasa instrumen gitar dalam muzik beliau.

Jadi, mana satu yang betul?

Idea mesti mengatasi kemahiran

Teknik Kurt bermain gitar sebenarnya memang biasa. Dia bukanlah seorang pemain gitar teknikal macam Jimi Hendrix atau Steve Vai dan juga bukan seorang pemain gitar rhythm yang hebat, tetapi sebagai satu-satunya pemain gitar dalam trio muzik – dia memang hebat.

Kebanyakan lagu yang dihasilkan Kurt adalah lagu yang memerlukan pengetahuan gitar asas. Teknik plucking dia juga senang sebenarnya. Kurt banyak memasukkan elemen punk dalam muzik dia yang membuatkan cara dan teknik dia bermain gitar pun, agak rutin dan ringkas.

Dari segi teknikal, kebanyakan lagu NIrvana tidak banyak kelainan dari segi teknik bermain gitarnya. Kurt hanya menggunakan strumming suka hati dia dan sekiranya teknik plucking digunakan, melodinya simple macam dalam lagu ‘Dumb’ atau ‘Heart Shaped Box.’

Nak dengar contoh plucking Kurt Cobain yang jadi trademark dia, dengarkan bahagian verse dalam lagu ‘Lithium.’

Selain itu, Kurt juga bertanggungjawab mempopularkan semula teknik ‘slow-loud-slow-loud’ dalam lagu dia yang ditiru daripada kumpulan Pixies.

Kurt kerap menyebut album ‘Santa Rosa’ hasil Pixies mengubah perspektifnya terhadap muzik.

Melodi dalam lagu Nirvana memang kebanyakannya pusing-pusing macam tu saja, tapi bila anda dengar kesemua album rasmi Kurt semasa dia hidup (termasuklah album klasik Unplugged in New York) kita boleh bezakan lagu dia dengan mudah.

Ini kerana setiap lagu ciptaan beliau mempunyai identiti yang berbeza walaupun teknik permainan gitarnya sama.

Kurt bukan seorang pemain gitar yang handal daripada segi teknik. Jika kita nak cerita pasal pemain gitar yang handal, mungkin ada beribu gitaris lain yang lagi cekap dari dia,

Namun Kurt berjaya mengajar kita satu benda tentang muzik; irama dan melodi tak perlu terlalu teknikal untuk dikatakan bagus. Apa yang penting adalah jiwa lagu tersebut.

Semangat itulah yang menyemarakkan ramai anak muda generasi 80 an dan 90 an untuk belajar bermain gitar menggunakan lagu-lagu Nirvana.

Sejarah Kurt Cobain belajar gitar juga ringkas – dia belajar gitar selama sebulan, memperkemaskan kemahiran dengan mula bermain lagu AC/DC ‘Back in Black’ sebelum mencipta lagu sendiri secara suka-suka.

Jika Kurt bermula dengan lagu AC/DC, pasti ramai di antara kita mula belajar bermain gitar dengan lagu ‘Come As You Are’ atau ‘Smells Like Teen Spirits.’

Ramai artis luar dan tempatan terikut dengan cara Kurt, khasnya di Malaysia. Cara Kurt menjadi ikutan kumpulan OAG pada ketika awal kemunculannya.

Elemen grunge pada album pertama Butterfingers cukup cantik bergabung dengan melodi-melodi klasik Melayu.

Sehingga kini, pengaruh teknik Kurt dapat dilihat pada beberapa kumpulan indie di Malaysia khasnya kumpulan Nervedeless yang cukup sinonim dengan muzik era kegemilangan Nirvana di Malaysia ketika ini.

Falsafah muzik Cobain menular mempengaruhi ramai karyawan. John Frusicante gitaris Red Hot Chilli Peppers mengakui teknik Kurt bermain bukan untuk membuat orang kagum dengan jari jemari yang pantas.

Kebolehan semulajadi Kurt Cobain bermain gitar adalah bagaimana bakatnya mengaplikasikan apa saja not muzik yang dirasakan sesuai ketika itu secara spontan.

Rivers Cuomo, vokalis kumpulan Weezer mengakui lagu Kurt banyak menjadi panduan kepada dia secara tidak sengaja dalam mencipta lagu, semasa kumpulan Weezer baru saja hendak bermula.

Rivers mengaku album Nevermind yang ditulis Kurt banyak ‘mendidik’ beliau tentang pertukaran kord lagu, rentak dan melodi serta perkara-perkara senang yang sebelum ini dipandang sebagai perlu sukar.

Bagi Rivers, Kurt mengubah cara dia melihat pembikinan sesebuah lagu itu boleh tidak perlu banyak komplikasi.

Tidak ada individu lain yang lebih layak memperkatakan tentang cara Kurt bermain gitar melainkan produser album lejen Nevermind sendiri.

Butch Vig menjelaskan Kurt Cobain tidak berminat dengan skala atau kord sukar pada gitar. Dia juga tidak peduli tentang latihan untuk melatih kepantasan.

Apa yang Kurt ada, menurut Butch adalah bakat semulajadi mencipta melodi ringkas yang senang diingati semua orang.

Kata Butch, permainan Kurt kasar tapi penuh dengan mesej dan sangat bertenaga. Kurt bermain gitar pandai-pandai sendiri, kerana dia sendiri belajar gitar pandai-pandai sendiri jadi cara dia bermain juga tidak mengikut peraturan serta teori muzik biasa.

Atas sebab-sebab itulah jika anda tanya mana-mana pemain muzik siapa individu yang banyak mempengaruhi mereka sebagai pemain gitar, nama Kurt Cobain akan kerap kedengaran.

Tekniknya ringkas, pertukaran kordnya boleh dipelajari cepat dan anda mungkin dapat bermain lagu-lagu Nirvana selepas sebulan dua baru belajar sentuh gitar.

Atas falsafah itu, Kurt secara tidak rasmi menjadi guru kepada ribuan pemain gitar di seluruh dunia walaupun dirinya sudah tiada akibat tragedi bunuh diri.

Sumber: IIIuminasi

GitarKapok