Malang jika ada peminat muzik rock tempatan yang tak pernah dengar lagu Taman Rashidah Utama.
Dari bilik karaoke ke studio jamming sampailah ke cabaran peserta program realiti. Masih lagi relevan dijadikan pilihan walaupun usianya sudah lebih 30 tahun dilahirkan.
Lagu yang dimuatkan dalam album Wings yang cover albumnya pernah diparodikan dalam filem Rock Oo. Album apa lagi kalau bukan album Hukum Karma pada tahun 1988.
Durasi lagu selama 7.05 minit itu telah menggabungkan vokal mantap Awie dan solo gitar Joe yang penuh dengan ekspresi kesedihan dalam lagu.
Aku sama seperti yang lain dalam scene Zul Kapan bila vokalnya diuji untuk mengisi kekosongan vokalis Rimba Bara. Tergamam bila bait lirik “pertama kali kau ku cinta…” diungkapkan.
Lagu dan liriknya ditulis oleh pengacara, pelawak, pelakon dan kini pendakwah iaitu Saudara Bob Lokman. Teringat dengan ucapan “kumpulan rock tempatan yang merakamkan album inggeris dengan gaya inggeris…” masih lagi segar dalam memori peminat.
Umum tahu bahawa Taman Rashidah Utama ini benar-benar wujud.
Sebuah perumahan yang terletak di Senawang kira-kira 10 km dari Seremban. Apahal pula Bob Lokman nak buat lagu pasal taman perumahan ni? Rupa-rupanya lagu ini terinspirasi dari kisah benarnya sendiri.
Bob Lokman ketika berusia lewat 20-an mengenali gadis berusia 14 tahun yang menetap di Taman Rashidah Utama. Beliau mula jatuh cinta padanya apabila gadis ini pernah singgah ke studio bersama rakan-rakannya untuk bertemu kumpulan Wings. Beliau tertarik dengan kecantikannya namun tidak pula dihiraukan.
Sejak itu, Bob nekad untuk menunggu gadis itu tamat zaman persekolahan untuk menghantar rombongan meminang.
Walaupun gadis itu telah menjelaskan tiada perasaan terhadap Bob, rombongan meminangnya tetap diteruskan. Namun, pinangannya tetap ditolak. Lelaki mana yang tak kecewa dan patah hati bila situasi macam ini terjadi. Mungkin sudah tertulis bahawa jodoh Bob bersama orang lain.
Cinta Bob belum lagi terhenti setakat itu. Beliau masih lagi berulang-alik ke Seremban dan melalui kawasan perumahan itu demi melihat gadis yang dicintai walaupun sekejap. Sehinggalah satu hari, beliau berputus asa dengan apa yang dilakukan.
Selepas hujan, Tuhan ciptakan pelangi. Di sini terbitnya hikmah setelah kekecewaan yang dilalui. Bob mendapat ilham untuk mencipta lagu yang kini malar segar dan hits pada eranya, Taman Rashidah Utama.
Kini, masing-masing telah memilih haluan sendiri. Hubungan Bob bersama gadis itu masih lagi kawan baik. Malah, mereka boleh tergelak mengenangkan kisah lalu itu.
Rupa-rupanya, gadis yang dinyatakan dalam kisah ini sebenarnya adalah Aida Aris. Seorang model dan pelakon yang tidak asing lagi di negara kita. Tahniah Bob Lokman, anda sudah pun memenangi hati kami. Hikayat sebuah kubur cinta yang luar biasa.
Sumber: صيفول بهري محمد