Search
Search
Kisah perjalanan muzik Kumpulan Budak Kacamata

Kisah perjalanan muzik Kumpulan Budak Kacamata

Kumpulan Budak Kacamata merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu Melayu.

Kumpulan Budak Kacamata (BKM) mula mencipta nama di kalangan peminat muzik pada tahun 1997 melalui lagu Cinta Tak Perlu Dipaksa.

Namun ketika nama mereka mula menjadi sebutan ramai, kumpulan tersebut terpaksa berehat sementara. Ini kerana masalah kesihatan yang dialami oleh vokalis kumpulan tersebut iaitu Zack.

Sungguhpun begitu, kumpulan Budak Kacamata tetap bertahan, dan setelah beberapa lama ‘hilang’, mereka muncul kembali bersama Zack sebagai (vokalis), Ajak (bass), Farouk (gitar) dan Razak (dram) dengan album kedua mereka iaitu Terima Kasih Sayang.

Berbeza daripada album sulung mereka, Terima Kasih Sayang lebih istimewa untuk kumpulan Budak Kacamata dan mereka juga berharap peminat mereka juga begitu. Mereka turut menghasilkan empat daripada 10 lagu untuk album itu.

Selain itu, mereka juga menggunakan khidmat penerbit terkenal tanah air seperti Eddie Hamid, To’ki, Adinda Amiro, Man Toba dan ramai lagi.

Penerbitan album itu tertangguh hampir setahun kerana masalah kesihatan penyanyinya, Zack. Album sulung kumpulan Budak Kacamata sebelum ini berjaya mencatat jualan lebih 20,000 unit dan bagi kumpulan baru seperti mereka menganggap ia satu pencapaian yang membanggakan.

Pada 2002, kumpulan Budak Kacamata berjaya menerbitkan album keempat mereka yang berjudul Jujur yang memuatkan sepuluh buah lagu. Ia turut memuatkan sebuah lagu ciptaan Zack, Pilu dan Papa Blues.

Menurut Zack, lagu Pilu yang bunyi gitar dimainkan oleh Eddie Marzuki itu dibuat setahun sebelumnya, manakala lagu Papa Blues pula telah dicipta sejak dua tahun lalu. Ia diterbitkan oleh Ly, Adinda Amiro, Belle, Tapai, Alfa dan Eddie Hamid dan diedar oleh Fantasia Music City (FMC).

Selain itu, menurut Zack, lagu Bunga Arabia, ciptaan Adinda Amiro dan lirik oleh Saidin itu dianggap paling susah untuk dirakam kerana dia perlu menghayati dengan gaya sendiri kerana lagu tersebut tidak ada petunjuk melodi malah lirik tersebut juga dibuat pada saat akhir.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Anak-Anak Kecil, Cinta Satu Keramat, Biarkan, Hanya Ada Kamu, Meranti Sundai, Hari Ini Esok Lusa dan Tanpa Alasan.

Sumber: ROCK Dulu – Dulu

GitarKapok