Hujung 70an – awal 80an arena muzik Malaysia dikuasai penyanyi berkumpulan – Black Dog Bone, Carefree, Sweet September, Blues Gang, Revolvers, Flybaits, duo Cenderawasih. Alleycats mewakili gerombolan ini.
Selepas era ini, ada satu era di mana breakdance menguasai akal fikiran rakyat Malaysia terutama para remaja. Serentak dengan itu juga penyanyi-penyanyi pop barat mendominasi suasana. Michael Jackson, Madona, Tina Turner, Wham! Lionel Richie, Stevie Wonder.
“Si baju hijau sedang bertugas, di perbatasan peluru tak bermata, harus waspada'”. Siapa ingat ni?. Suatu peristiwa pelik telah berlaku pada 1985. Sebuah konsert Pop Yeh. Yeh telah berlangsung di Stadium Negara Kuala Lumpur, serentak dengan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Johor menentang Wilayah Persekutuan.
Dengan tak semena-mena irama pop yeh yeh kembali meletup diseluruh negara! Nama-nama seperti A Halim, S Jibeng, A Ramli, A Rahman Hassan, Sanisah Huri, Hasnah Harun, meniti di bibir peminat. Para remaja yang belum lahir pada 1960an turut menggilai lagu-lagu pop yeh yeh.
Pelbagai konsert diadakan, samada di stadium-stadium atau funfare. Berbagai album irama 60an diterbitkan semula. Ada yang dinyanyikan semula. Sungguh meriah pada ketika itu.
Penyanyi-penyanyi 60an yang berusia sekitar 40an ke 50an namun masih kelihatan muda, kacak dan cantik dengan suara tetap memukau.Kemeriahan berlangsung sepanjang penghujung 1985, 1986, 1987 sehinggalah kemunculan kumpulan-kumpulan rock selepas itu.
Pada 1986 pertandingan Battle of The Band berlangsung diikuti penerbitan album Battle of The Band. Walaupun kumpulan Search dan Rusty Blade telah merakamkan album sebelum itu, namun BOTB telah menyemarakkan irama rock di Malaysia, sekaligus menenggelamkan pengaruh Michael Jackson dan rakan-rakan serta menggantikan kehangatan irama pop yeh yeh.
Kumpulan SYJ/Sofea mewakili kumpulan-kumpulan BOTB antara lain Ella & The Boys, Lefhanded , Blodshed. Diikuti satu lagi pertandingan yang mengeluarkan nama-nama seperti May, Metalian, dan Febians.
Bagi golongan remaja lelaki, bukan lagu Nasir Wahab dan Fauziah Latif tu tak sedap. Tapi sebab tak sanggup kena kecam dengan kawan-kawan dan dicop mat bunga.
Tahun 90’an menyaksikan pengaruh rock kapak merosot akibat perpecahan band, pengharaman konsert dan sebagainya. Hamya yang betul-betul kental terus bertahan.
Ketika ini muncul irama rap diketuai oleh KRU. Kegilaan anak-anak gadis bertukar dari penyanyi rock kepada Yusri KRU. Feminin juga antara nama besar. Bagi golongan ‘rockers’ yang tak dapat menerima KRU mungkin cenderung kepada irama rock barat yang lebih keras seperti Metalica.
Yang lain mungkin lebih senang dengan New Kids In The Block, Backstreet Boys, Westlife, Spice Girls dan banyak lagi.
Pada 1996 Siti Nurhaliza muncul dengan album pertama. Album berikutnya dengan lagu Aku Cinta Padamu meledak sebagain manifestasi penguasaan Dato Siti bagi dekad seterus.
Golongan peminat rock kapak dahulu, pada waktu ini mungkin sudah bekerja mungkin sedang dalam hangat dalam percintaan. Tipulah pengikut Metallica tak tujukan lagu Aku Cinta Padamu untuk kekasih hati. Mengaku je la ok.
Standard orang lelaki, sanggup buat apa saja untuk memenangi hati si gadis. Termasuk menyimpan kaset Iron Maiden, Megadeth, pasang lagu Scoin, Spoon, Spin, Success, Slam, Sting dan apa ‘S’ lagi dalam kereta.
Pada pertengahan 1997 ekonomi Malaysia telah diserang yang mregakibatkan kegawatan ekonomi. Di ketika itu ramai orang kehilangan pekerjaan, mengalami masalah kewangan, hutang tiba-tiba melambung dengan peningkatan kadar interest yang tinggi, perubahan dalam sektor perbankan.
Ia seterusnya menerbit suasana tidak menentu bagi ramai orang, ada yang putus cinta, ada yang hilang harta benda dan seumpanya. Di akhbar pula tak habis-habis cerita pergolakan politik, tilam diusung ke mahkamah dan macam-macam lagi cerita-cerita negatif.
Dalam keadaan ketidaktentuan dan kegawatan inilah Raihan muncul dengan album Puji-Pujian. Ia seolah-olah suatu penawar bagi rakyat Malaysia. Mungkin suatu peringatan supaya sentiasa memuji Tuhan tak kira dalam apa keadaan.
Lagu-lagu Raihan yang lembut mendamaikan meniti di bibir menjadi halwa di telinga. – Seperti biasa. Bila susah baru nak ingat Tuhan kan, kan. Masa pasaran saham naik, duit banyak haritu kau tak ingat. Awek dah lari baru nak kenal imam masjid –
Album Pujian-Pujian pada masa itu terjual sehingga 700,000 unit. Suatu rekod yang belum pernah dicapai oleh mana-mana artis. Kumpulan Raihan telah mengangkat irama nasyid ke tahap tertinggi, yang mana lagu-lagu nasyid sebelum itu mungkin dianggap rendahan bagi sesetengah golongan.
Kejayaan kumpulan Raihan telah membuka jalan kepada kumpulan-kumpulan nasyid lain untuk bertapak. Lagu-lagu dari Rabbani, In-Team, NowSeeHart dan lain-lain seterusnya menjadi penyeimbang bagi arena muzik Malaysia sehingga kini.
Serentak dengan Dato Siti dan Raihan, juga muncul kumpulan-kumpulan rock yang lebih ringan seperti kumpulan-kumpulan ‘S’ tadi.
Pengikut irama muzik Malaysia terdiri pelbagai golongan dan genre. Ada yang masih dengan irama 60an, ada yang cenderung kepada irama rock, heavy metal, black metal, pop, rap, Kpop, lagu-lagu barat, lagu-lagu Indonesia, Hindustan, jazz. Ada yang lebih senang dengan lagu-lagu klasik, lite n easy. Ada yang suka lagu-lagu nasyid. Apa akhirnya?
Akhirnya mereka semua disatukan oleh Didie N Friends, Omar Hana, Upin-Ipin…. Semut berkawad satu- satu horeyy horeyy..
Salam bahagia.
Sumber: Rashid Mohd Noor Coway