Search
Search
Zaman bermulanya kejatuhan arena muzik pop rock/balada Malaysia

Zaman bermulanya kejatuhan arena muzik pop rock/balada Malaysia

Band lagenda paling leleh tahap meleleh air hidung, berderai air mata, meratap sedih dan meraung di bucu katil. Zaman bermulanya kejatuhan arena muzik Malaysia, pop rock/balada khususnya dan band-band Indo mula bertapak.

Semuanya bermula pada penghujung tahun 1996 apabila Saari Amri terlibat dalam kemalangan dan koma.

Ramai artis yang terumbang ambing terutamanya band-band yang banyak mendapat sentuhan Saari Amri seperti U.K’s, Slam, Umbrella, Lemon-T, Scan dan Exist. Ramai yang mula beralih arah mendapatkan sentuhan komposer Eddie Hamid.

Bermula dengan lagu Rindu Serindunya – Spoon dan Siang Terbayang Malam Merindu – Noreen Nor, Eddie Hamid berjaya menempa nama pada tahun 1998 dan mengambil alih arena band-band pop rock/balada Malaysia yang sebelumnya dikuasai oleh Saari Amri sejak dari tahun 94, selepas berakhirnya era Rock Kapak pada tahun 92 – 93.

Bermulalah legasi band-band leleh yang namanya bermula dengan huruf ‘S’ seperti Spoon, Scoin, Screen, Spin, Scorr, Sup dan Spriranza.

Mereka mula menguasai arena muzik tempatan bersama-sama band-band yang sudah lama bertapak seperti Stings, Sweetchild, Success, Data, Arrow, AXL’s dan EYE.

Peminat-peminat rock sejati kekal menyokong perjuangan muzik metal yang dibawa XPDC, Amuk, Kamikaze & Mantera. Ketika ini juga muncul band hard rock/punk Def Gab C yang membawa genre baru dalam industri.

Search bersama Awie tampil dengan masterpiece M. Nasir – Nur Nilam Sari sebelum berpecah pada tahun 1999 dan muncul kembali bersama ahli baru dengan lagu hits Kejoraku Bersatu.

Wings meneruskan perjuangan bersama Mus. Spring pula kekal dengan haluan sendiri. Kekal sebagai generasi rock kapak era 1991 yang masih bertahan walaupun bertukar genre pop rock/balada.

Band-band Indo pula mula menyusup masuk apabila lagu Krisdayanti – Menghitung Hari dan lagu Sheila On 7 – Dan menjadi siulan dan sering diputarkan di radio.

Lagu ‘Jika’ menjadi fenomena, menjuarai Carta Era berbulan lamanya. Bermulanya juga kebangkitan Dewa 19 dan Gigi.

Tangkap leleh berjaya menguasai corong-corong radio sepanjang tahun 98 – 99 hingga muncul pula New Boyz, Boboy & Q-Face meneruskan legasi tangkap leleh hingga tahun 2002 sebelum terus berkubur selama-lamanya.

Saat band-band leleh dan Indo menguasai pasaran Malaysia, Spider muncul dengan album kedua mereka iaitu Aladin.

Di tengah-tengah zaman gelap selepas terkesan dgn krisis kemelesetan ekonomi, Aladin berjaya mencipta rekod apabila terjual lebih 60,000 unit meletakkan ia sebagai salah sebuah album terbaik yang pernah dihasilkan di negara kita.

Mendapat sentuhan M.Nasir dengan pengaruh muzik ska, Spider berjaya menarik kembali minat pencinta muzik rock tanahair.

Ketika ini mereka diiringi band-band underground/alternatif yang mula menghasilkan album dalam bahasa Melayu seperti OAG dan Flop Poppy, juga band-band yang masih aktif seperti Def Gab C dan Exist yang membawa haluan baru dalam industri muzik Malaysia.

Pengaruh band-band Indo juga mula berkurang hingga bermulanya era Hujan & Meet Uncle Hussain.

Bait-bait lirik leleh Scoin akhirnya tinggal kenangan. Eddie Hamid pula beberapa tahun selepas itu muncul kembali dengan karya masterpiece ‘Halimah Jongang.’

Sumber: Azril Alias

GitarKapok