Ini kaset. Kau taukan kaset ni apa?
Kaset bukanlah sejenis makanan mahu pun pencuci mulut apatah lagi penghilang dahaga di kala terik benderang mentari. Bukan dan salah semata semua tu.
Kaset adalah nyawa pada pencinta muzik dulu. Kalau kau pinjam, jangan hilang, jangan rosakkan. Mati kau nanti kena maki.
Tambah kalau kaset original. Fuh, barang mewah. Semewah kalau kau ada Walkman.
Inilah pengubat halwa telinga zaman dulu. Era penghujung 80an. 1989. Tahun di mana aku menghadap peperiksaan awam kedua sepanjang usia iaitu SRP.
Sijil Rendah Pelajaran. Aku dah start bengap pada pelajaran. Aku gila nak jadi rockers.
Tahun aku turun kelas. Tingkatan 3 Perdagangan 2. Ahhh, aku silap. Aku alpa. Kerana kecintaan pada muzik rock, aku tersasar pada apa yang patut. Aku culas dalam peperiksaan. Keputusannya tak best.
Aku pentingkan penampilan cuma bila ke sekolah. Seluar kena ketat, kasut kena Warrior ( tak mampu pakai Aliph ), rambut kena beramos ( pakai Poken ), jalan terhenjut, sapu tangan key merah ikat kat seluar, tangan kena begini .
Fuh, kalau Amy Search tengok, sah dia bangga.
Masa album “Hakikat” ni keluar, bangga sungguh rasa bila “budak Ipoh” hasilkan sebuah album lebih berat muziknya. Suara vokalistnya, si Mus memang tiada tandingan. Tersendiri. Nyaring bergema.
Makanya,
Tiap kali pergi sekolah hujung minggu, sah ada yang bawa mini kompo dan kaset. Melalaklah kami masa tu sambil kemaskan kelas atau pun buat “kelas tambahan”.
Siap berjoget, bangging. Itulah hiburan tatkala itu sesama kami.
Bukan sekadar MAY, tahun itu juga kumpulan SEARCH hasilkan album “FENOMENA” yang ada lagu ” Isabella” tu. Fuh, tahun terbaik untuk irama rock.
Manalah, aku nak belajarkan?
Buku tulis penuh lirik lagu, gambar conteng tengkorak, beg sengaja dirabakkan untuk menunjukkan betapa ganaslah kononnya, dicontengkan dengan logo ikut aliran apa yang diminati.
Rosak sekejap budak sekolah masa tu baik lelaki dan perempuan dek kerana alpa dan leka dengan irama muzik yang mengganas seantero pelusuk negara suatu tika dahulu.
Rosak bukan apa, ramai yang nak jadi rockers.
Tang ni memang aku gelak sebab suara aku sumbang. Pernah jamming tapi selalu kena marah dengan member. Suara pitchingnya ke laut dalam. Tak layak nak jadi vokalis.
Setanding Amy Mat Piahlah senang ceritanya aku ni dulu. Rockers tak jadi.
Ini kisah masa di tingkaran 3, tahun 1989. Indah. Terlalu dan sangat indah untuk dikenang sepanjang usia.
Sumber: Pe Chey